Pages

Abu Hurairah Radiyallahu 'anhu



Abu Hurairah r.a - namanya 'Abdul Rahman bin Sakhar.
Menurut cerita dia ada mempunyai seekor kucing betina. Sebab disebutkan atau digelar Abu Hurairah kerana ceritanya;
Pada satu hari aku membawa anak kucing yang aku letakkan di dalam tangan bajuku, kebetulan ketika itu dilihat Rasullullah SAW, lalu dikatakan kepadaku: "Apakah itu?" "Ini Kucing", maka langsung dikatanya: "Ya Aba Hurairah,"
Dan ada orang berkata bahawa dia dipanggil Abu Hurairah ialah kerana ia selalu bermain-main dengan kucing waktu ia masih kecil.
Seterusnya ada pula yang berkata kerana dia amat suka berbuat baik kepada kucing waktu ia sudah besar.
Abu Hurairah RA meriwayatkan lebih 5000 hadith. Beliau banyak berzikir dan kira-kira 12000 kali ia bertasbih sehari semalam.
Pada masa hidupnya ia pernah menjadi Amir di Madinah 3 kali.
Rasullullah SAW amat kasih kepadanya. Ia meninggal di Madinah dan dimakamkan di Baqi'


(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Anas bin Malik Radiyallahu 'anhu



Anas bin Malik ialah khadam Rasullullah SAW. Sepuluh tahun lamanya ia berkhidmat kepada Rasullullah SAW dan Rasullullah SAW tidak pernah menegur tentang apa yang diperbuatnya, kenapa dia perbuat? Dan tentang apa yang ditinggalkannya, kenapa dia tidak perbuat?
Rasullullah SAW berdoa baginya supaya memperkenan permohonan ibunya yang meninta didoakan bagi akan anaknya itu dengan mendapat harta yang banyak, anak yang banyak dan panjang umurnya.
Doa Rasullullah SAW dimakbulkan Allah; iaitu terbukti dengan hidupnya selama 99 tahun, kebunnya subur dan banyak mengeluarkan hasil serta berbau harum semerbak seperti kasturi dan mempunyai anak yang ramai, seramai 100 orang lelaki.


(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Peperangan Pada Jalan Allah

Daripada Abu Musa ia berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu ia berkata:
"Wahai Rasullullah! Apakah peperangan pada jalan Allah? Kerana bahawasanya ada seseorang daripada kami berperang kerana kemarahannya, dan ada yang berperang kerana kecemburuannya".
Maka Nabi SAW pun mengangkat (mendongak) kepalanya kepadanya. Kata Abu Musa: "Dan tiada ia mengangkat kepalanya melainkan kerana lelaki itu berdiri." Kemudian Nabi SAW bersabda:
"Barangsiapa yang berperang supaya adalah kalimah Allah (agama Allah) itulah yang tinggi, maka peperangan itu adalah pada jalan Allah"

Keterangan hadith:
Barangsiapa yang berperang supaya kalimah Allah itu lebih tinggi, maka itulah dia yang dinamakan peperangan pada jalan Allah.

(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Sunat Dikanankan Perkara-Perkara Yang Baik

Daripada 'A'isyah ia berkata: Adalah Nabi SAW menyukai mengkanankan menurut berapa kuasanya dalam keadaan semuanya, pada bersucinya dan menyikat rambutnya dan memakai kasutnya

(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Neraka Bagi Pembunuh Dan Yang Terbunuh

Daripada Abi Bakrah ia berkata: Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda: "Apabila bertemu dua orang Islam dengan pedang keduanya, maka pembunuh dan yang terbunuh adalah di dalam neraka."
Berkata aku: "Ya Rasullullah! Ini pembunuh, maka apakah halnya yang terbunuh?"
Ia bersabda: " Bahawasanya ia (orang yang terbunuh) adalah berazam untuk membunuh saudaranya."

KETERANGAN HADITH
Jika kedua-dua saudara seIslam berniat untuk membunuh antara satu sama lain, maka kedua-duanya (pembunuh dan yang terbunuh) adalah ahli neraka.

(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Orang Yang Lebih Berbahagia Di Antara Manusia Mendapat Syafa'at

Daripada Abi Hurairah bahawasanya ia berkata: Berkata aku: Wahai Rasullullah! Siapakah manusia yang lebih bahagia dengan mendapat syafa'at engkau pada hari qiamat? Berkata Rasullullah:
Demi sesungguhnya aku telah menyangka, wahai Abu Hurairah bahawa tiada bertanya kepada aku tentang hadith ini oleh seorang yang pertama sebelum engkau, kerana aku lihat daripada kelobaan engkau untuk (mengetahui) hadit,
manusia yang lebih bahagia dengan mendapat syafa'at pada hari qiamat ialah mereka yang berkata: "Lailahaillallah" hal keadaan bersih hatinya atau dirinya (dari sebarang syirik)

(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

10 Sahabat Yang Di Janjikan Syurga

Siapakah dia sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang telah pun dijamin syurga oleh ALLAH SWT sejak mereka masih di dunia lagi? Sama-samalah kita mengenali diri mereka yang amat bertuah ini. Sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga berdasarkan hadith berikut: Tercatat dalam 'ARRIYADH ANNADHIRAH FI MANAQIBIL ASYARAH'

Dari sahabat Abu Dzar r.a bahawa Rasulullah SAW masuk ke rumah Aisyah r.a dan bersabda:
Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?
Aisyah menjawab:
Tentu, ya Rasulullah.
Lalu Nabi SAW bersabda:
Ada sepuluh orang yang mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu:

  1. Ayahmu masuk syurga dan kawannya adalah Ibrahim,
  2. Umar masuk syurga dan kawannya Nuh,
  3. Uthman masuk syurga dan kawannya adalah Aku,
  4. Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakaria,
  5. Talhah masuk syurga dan kawannya adalah Daud,
  6. Azzubair masuk syurga dan kawannya adalah Ismail,
  7. Sa'ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman,
  8. Said bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran,
  9. Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam,
  10. Abu Ubaidah ibnu Jarrah masuk syurga dan kawannya adalah Idris a.s.


Kisah singkat 10 Sahabat Radhiallahu Ta'ala Anhum :-

Abu Bakar bin Abi Qohafah (As-siddiq) r.a, adalah seorang Quraisy dari kabilah yang sama dengan Rasulullah SAW, hanya berbeza keluarga. Bila Abu Bakar r.a berasal dari keluarga Tamimi, maka Rasulullah SAW berasal dari keluarga Hasyimi. Keutamaannya, Abu Bakar r.a adalah seorang pedagang yang selalu menjaga kehormatan diri. Ia seorang yang kaya, pengaruhnya besar serta memiliki akhlak yang mulia. Sebelum datangnya Islam, beliau adalah sahabat Rasulullah SAW yang memiliki karakter yang mirip dengan Rasulullah SAW. Belum pernah ada orang yang menyaksikan Abu Bakar r.a minum arak atau pun menyembah berhala. Dia tidak pernah berdusta. Begitu banyak kemiripan antara beliau dengan Rasulullah SAW sehingga tak hairan kemudian beliau menjadi khalifah pertama setelah Rasulullah SAW wafat. Rasulullah SAW selalu mengutamakan Abu Bakar r.a berbanding para sahabatnya yang lain sehingga nampak menonjol di tengah -tengah orang lain.
Rasulullah SAW bersabda : "Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat nescaya akan lebih berat keimanan Abu Bakar." (HR. Baihaqi)
Al Quran pun banyak mengisyaratkan sikap dan tindakannya seperti yang dikatakan dalam firman-Nya, surah Al Lail ayat 5-7, 17-21. Surah Fushilat ayat 30. At Taubah ayat 40. Dalam masa yang singkat sebagai Khalifah, Abu Bakar r.a telah banyak memperbaharui kehidupan kaum muslimin, memerangi nabi palsu, dan kaum muslimin yang enggan membayar zakat. Pada masa pemerintahannyalah penulisan Al Quran dalam lembaran-lembaran dimulai.

Umar Ibnu Khattab r.a, ia berasal dari kabilah yang sama dengan Rasulullah SAW. Umar r.a masuk Islam setelah bertemu dengan adiknya Fatimah r.a dan suami adiknya Said bin Zaid r.a pada tahun keenam kenabian. Dan sebelum Umar r.a memeluk Islam, telah ada 39 orang lelaki dan 26 wanita yang memeluk Islam. Di sisi kaumnya Umar r.a dikenali sebagai seorang yang pandai berbincang, berdialog, memecahkan permasalahan serta berwatak kasar. Setelah Umar r.a masuk Islam, dakwah kemudian dilakukan secara terang-terangan. Begitupun di saat hijrah, Umar r.a adalah segelintir orang yang berhijrah dengan terang-terangan. Ia sengaja berangkat pada siang hari dan melewati rombongan Quraisy. Ketika melewati mereka, Umar r.a berkata, "Aku akan meninggalkan Mekah dan menuju Madinah. Siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghalang aku di belakang lembah ini!" Mendengar perkataan Umar r.a tak seorang pun yang berani mencegah Umar r.a. Banyak pendapat Umar r.a yang dibenarkan oleh ALLAH SWT dengan menurunkan firman-Nya seperti saat peristiwa kematian Abdullah bin Ubay, ataupun saat penentuan perlakuan terhadap tawanan perang Badar, pendapat Umar dibenarkan ALLAH dengan turunnya ayat 67 surat Al Anfal.
Sebagai khalifah Islam yang kedua, Umar adalah seorang yang sangat menitikberatkan kesejahteraan rakyatnya, sampai setiap malam ia berkeliling kerana khuatir masih ada yang belum dipenuhi keperluannya.

Uthman bin Affan r.a. Terdapat sebuah Hadith yang menggambarkan keperibadian Uthman r.a: "Orang yang paling berkasih sayang di antara ummatku adalah Abu Bakar, dan paling teguh dalam menjaga ajaran ALLAH adalah Umar, dan yang paling bersifat pemalu adalah Uthman." (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim, At Tirmidzi).
Uthman r.a adalah seorang yang sangat dermawan. Dalam sebuah persiapan pasukan, pernah Uthman r.a yang membiayainya seorang diri. Setelah kaum muslimin berhijrah. Di saat menhadapi kesulitan air, Uthman telah yang membeli sumur dari seorang Yahudi untuk kepentingan kaum muslimin. Pada masa kepemimpinannya Uthman r.a merintis penulisan Al Quran dalam bentuk mushaf. Dari lembaran-lembaran yang mulai ditulis pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar r.a.

Ali bin Abi Talib r.a, merupakan sepupu Rasulullah SAW dan kanak-kanak pertama yang masuk Islam. Beliau yang menggantikan posisi Rasulullah SAW di tempat tidurnya saat Baginda berhijrah. Semasa berlakunya perang Badar, Ali r.a menumpaskan seorang jaguh Quraisy iaitu Walid ibni Utba. Beliau mengahwini Fatimah r.a, anak Rasulullah SAW. Ketika itu beliau berumur 25 tahun dan Fatimah berumur 18 tahun. Kerana kemiskinannya Ali r.a menjual baju besi perangnya untuk dijadikan mahar. Walaupun begitu para sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Utsman dan Saidina Abdurrahman bin Auf berbesar hati mengeluarkan perbelanjaan majlis perkahwinan kedua pengantin itu demi memuliakan Rasulullah SAW, kekasih yang amat mereka cintai.

Talhah bin Ubaidillah r.a yang pada perang Uhud terkena lebih dari tujuh puluh tikaman atau panah serta jari tangannya putus. Namun Talhah r.a yang sangat berani dan kuat inilah yang menjadi perisai melindungi Rasulullah S.A.W di saat-saat genting, beliau memapah Rasulullah S.A.W yang tubuhnya telah berdarah menaiki bukit Uhud yang berada di hujung medan pertempuran saat kaum musyrikin pergi meninggalkan medan peperangan kerana menganggap bahawa Rasulullah SAW telah wafat. Saat itu Talhah r.a berkata kepada Rasulullah SAW, "Aku tebus engkau ya Rasulullah dengan ayah dan ibuku." Nabi SAW tersenyum seraya berkata, "Engkau adalah Talhah kebajikan." Sejak itu beliau mendapat julukan Burung Helang hari Uhud. Rasulullah SAW pernah berkata kepada para sahabatnya, "Orang ini termasuk yang gugur dan barang siapa yang senang melihat seorang yang syahid berjalan di muka bumi maka lihatlah Talhah."

Azzubair bin Awwam r.a adalah sahabat karib Talhah r.a. Beliau memeluk Islam pada usia 15 tahun dan berhijrah pada usia 18 tahun. Dengan seksaan yang dia terima dari pakciknya sendiri. Kepahlawanan Azzubair ibnu Awwam r.a terlihat dalam perang Badar saat ia berhadapan dengan Ubaidah bin Said Ibnul Ash. Azzubair ibnu Awwam r.a berhasil menombak kedua matanya sehingga akhirnya ia tersungkur tak bergerak lagi, hal ini membuat pasukan Quraisy ketakutan.
Rasulullah sangat mencintai Azzubair ibnu Awwam r.a. Beliau pernah bersabda, "Setiap nabi memiliki pengikut pendamping yang setia (hawari), dan hawariku adalah Azzubair ibnu Awwam." Azzubair ibnu Awwam r.a adalah suami Asma binti Abu Bakar r.a yang menghantarkan makanan pada Rasulullah SAW saat Baginda berhijrah bersama ayahnya. Pada masa pemerintahan Umar r.a, saat panglima perang menghadapi tentera Romawi di Mesir. Amr bin Ash r.a meminta bala bantuan pada Amirul Mukminin. Umar r.a mengirimkan 4000 tentera yang dipimpin oleh 4 orang panglima, dan ia menulis surat yang isinya, "Aku mengirim empat ribu tentera bantuan yang dipimpin oleh 4 orang sahabat terkemuka dan masing-masing bernilai 1000 orang. Tahukah anda siapa empat orang panglima itu? Mereka adalah Ubadah ibnu Assamit, Almiqdaad ibnu Aswad, Maslamah bin Mukhalid, dan Azzubair bin Awwam." Demikianlah dengan izin Allah, pasukan kaum muslimin berhasil meraih kemenangan.

Abdurrahman bin Auf r.a, adalah seorang pedagang yang berjaya. Namun saat berhijrah dia meninggalkan semua harta yang telah dia usahakan sekian lama. Namun selepas berhijrah ke Madinah, beliau kembali menjadi seorang yang kaya raya. Dan saat beliau meninggal, wasiat beliau adalah agar setiap peserta perang Badar yang masih hidup mendapat 400 dinar. Sedangkan yang masih hidup saat itu hanya sekitar 100 orang, termasuk Ali r.a dan Utsman. r.a. Beliau pun berwasiat agar sebahagian hartanya diberikan kepada Ummahatul muslimin, sehingga Aisyah r.a berdoa: "Semoga Allah memberi minum kepadanya air dari mata air Salsabil di syurga."

Saad bin Abi Waqqash r.a. Beliau adalah orang yang mula-mula melepaskan anak panah pertama dalam membela agama ALLAH dan juga orang yang mula-mula terkena anak panah. Seorang yang keislamannya sangat dikecam oleh ibunya, namun tetap tabah, dan kukuh pada keIslamannya. Saad bin Abi Waqqash r.a memeluk Islam sewaktu berusia l7 tahun, dan keislamannya termasuk yang terdahulu di antara para sahabat. Hal ini pernah diceritakannya sendiri, katanya:
"Pada suatu saat saya beroleh kesempatan termasuk 3 orang pertama yang masuk Islam." Maksudnya bahawa beliau adalah salah seorang di antara tiga orang yang paling awal masuk Islam. Sesungguhnya Saad bin Abi Waqqash r.a adalah pakcik Nabi SAW juga. Kerana dia adalah dari Bani Zuhrah sedangkan Bani Zuhrah adalah keluarga Aminah binti Wahab, ibunda Rasulullah SAW.

Said bin Zaid r.a, beliau adalah adik ipar Umar r.a. Adalah orang yang dididik oleh seorang ayah yang beroleh hidayah Islam tanpa melalui kitab atau nabi mereka seperti halnya Salman Al Farisi r.a, dan Abu Dzar Al Ghifari r.a. Banyak orang yang lemah berkumpul di rumah mereka untuk memperoleh ketenteraman dan keamanan, serta penghilang rasa lapar, kerana Said bin Zaid r.a adalah seorang sahabat yang sangat dermawan dan murah hati.

Abu Ubaidah Ibnu Jarrah r.a, yang akhirnya terpaksa membunuh ayahnya saat perang Badar sehingga ALLAH menurunkan ayat Quran surah Al Mujadilah ayat 22. Begitupun dalam perang Uhud, Abu Ubaidahlah yang mencabut besi tajam yang terlekat pada kedua rahang Rasulullah SAW, dan dengan berbuat begitu beliau rela kehilangan giginya. Abu Ubaidah r.a mendapat gelaran dari Rasulullah SAW sebagai pemegang amanah umat, seperti dalam sabda Baginda: "Tiap-tiap umat ada orang pemegang amanah, dan pemegang amanah umat ini adalah Abu Ubaidah Ibnu Jarrah."

Begitulah serba sedikit kisah dan keperibadian 10 sahabat yang telah dijamin masuk syurga oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya SAW di atas sumbangan dan pengorbanan besar mereka terhadap Islam. Mudah-mudahan kita semua mendapat iktibar dan pedoman untuk mengikuti jejak langkah mereka semua. InsyaAllah. Aamin...

sumber http://kum-pun.blogspot.com/2013/03/10-sahabat-yang-dijanjikan-syurga.html

sumber utama: KHALIFAH: 10 SAHABAT YANG DIJANJIKAN SYURGA http://khalifahalhidayah.blogspot.com/2013/03/10-sahabat-yang-dijanjikan-syurga.html#ixzz2Q9CF3wf2

Doa Untuk Mendapatkan Rezeki Yang Tak Terduga & Berkat


"Allahuma ashlih lii diini wa wassi'lii fi daarii wa baarikli fii rizqi"

"Ya Allah, perbaikilah agamaku yg menjadi pokok urusanku, lapangkan untukku dalam rumahku dan berkatilah dalam rezekiku."

Semoga kita semua dilimpahkan rezeki yang banyak lagi halal yang penuh keberkatan.....amin.

Sunat Bagi Orang Yang Balik Daripada Perjalanan Masuk Masjid Dahulu

Daripada Ka'ab bin Malik adalah Nabi SAW apabila ia datang daripada perjalanan mulailah ia dengan masuk masjid maka bersembahyanglah ia padanya.

Keterangan:
Nabi SAW apabila balik daripada perjalanan ia terlebih dahulu memasuki masjid lalu bersembahyang di dalamnya sebelum masuk ke rumahnya.
Mendahului masuk masjid adalah bertujuan supaya mendahului hak Tuhan dengan bersembahyang.

(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Agama Mudah Dan Senang



Daripada Abi Hurairah RA ia berkata: Rasullullah SAW bersabda:
Bahawa agama itu mudah dan tiada menyusahkan (memberatkan) akan agama oleh seorang melainkan dikalahkan dia. Maka hendaklah kamu betulkan dan hendaklah kamu sederhanakan dan hendaklah kamu gembirakan dan hendaklah kamu meminta pertolongan di waktu pagi dan petang dan suatu bahagian daripada akhir malam.

(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Doa Memohon Ketetapan Iman, Kelangsungan Nikmat dan Menjadi Teman Nabi SAW Di Syurga

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu iman yang tidak akan lepas (murtad), nikmat yang tidak akan habis dan menyertai Nabi Muhammad SAW di Syurga yang paling tinggi selama-lamanya"

#HimpunanDoa #AlwaysBackToAllah 

Orang-Orang Bodoh Dijadikan Ketua

Daripada 'Abdullah bin 'Amru bin Al-'Ash ia berkata: Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda:
Bahawasa Allah tidak menghapuskan ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya sesekaligus daripada hamba-hambanya. Tetapi ia menghapuskan ilmu pengetahuan itu dengan kematian "ulama" hingga apabila tiada tinggal lagi orang yang alim, maka mengambillah manusia kepala-kepala dari orang-orang bodoh, lalu ditanya mereka maka mereka memberi fatwa dengan tiada berpengetahuan. Maka sesatlah mereka itu dan menyesatkan pula.


(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

1000 Kebaikan Dalam Sehari



Dari Sa'ad bin Abi Waqqash radhiallahu 'anhu, ia berkata:
"Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
Setelah itu beliau bertanya: "Apakah mampu salah seorang dari kalian memperoleh 1000 kebaikan dalam sehari?"
Lalu salah seorang dari para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimana mungkin seseorang akan mampu meraih 1000 kebaikan dalam sehari?"
Rasulullah berkata: "Ketahuilah bahwa orang yang bertasbih 100 kali akan di catat 1000 kebaikan untuknya dan dihapus 1000 kesalahan darinya." 
(HR. Muslim).

Nikmat dunia yang paling baik

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Dunia adalah keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan (isteri) yang solehah (baik)”.

Kencing, Istinja' dan Minum

Daripada Abi Qatadah dari Nabi SAW, bahawasanya ia bersabda:
"Apabila kencing seorang kamu maka janganlah ia memegang akan kemaluannya dengan tangan kanannya dan janganlah ia beristinja' dengan tangan kanannya dan janganlah ia bernafas di dalam bejana (yang diminum padanya)


(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Makruh Sembahyang Waktu Mengantuk

Daripada 'A'isyah, bahawa Rasullullah SAW bersabda:
Apabila mengantuk seorang kamu dan ia sedang bersembahyang, maka hendaklah ia tidur hingga hilanglah daripadanya rasa mengantuk itu kerana bahawasanya seorang kamu apabila ia sembahyang sedang ia mengantuk tiadalah ia mengetahui barangkali ia meminta keampunan kepada Allah lalu ia memaki akan dirinya sendiri (iaitu berdoa untuk membinasa dirinya)


(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar

Jalan Kepada Syurga

Al Bukhari berkata: Rasullullah SAW bersabda:
Barangsiapa yang menjalani satu jalan kerana menuntuti dengannya akan pengetahuan, nescaya Allah memudahkan baginya akan jalan ke Syurga

Keterangan Hadith;
Barangsiapa (diantara lelaki dan perempuan) yang menjalani satu jalan - umpamanya pergi ke masjid, ke madrasah atau seperti berusaha mencari perbelanjaan dengan seumpama berrtukang, bertanam, berternak dan sebagainya untuk digunakan kerana menuntut atau mendapat pengetahuan yang berfaedah di dunia dan akhirat, maka akan dipermudahkan Allah baginya jalan yang memandu dia ke Syurga.

(Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah - hadith pilihan dari kitab sahih Imam Al Bukhari)
Terbitan Dewan Pustaka Fajar